Cinta untuk Amelia - Ep 1

Pintu pejabatnya diketuk beberapa kali. Kemudian Faezah masuk membawa sejambak bunga mawar merah yang digubah didalam bakul rotan. Faezah tercari-cari ruang yang sesuai untuk meletakkan jambangan bunga tersebut memandangkan hampir kesemua ruang kosong tersebut telah di isi dengan hadiah-hadiah serta jambangan bunga yang lain. Tetapi sedikit pun tidak menarik minat majikannya untuk melihat hadiah yang diterimanya.

“Bunga dari Eric, Happy Birthday Encik Azli,” Faezah melihat reaksi majikannya yang dingin. Entah angin apa yang menyelubungi lelaki tersebut. Takkan la harijadi sendiri pun nak bermasam muka.

“Thanks Faezah. You boleh keluar,” mata Azli masih lagi memandang nombor-nombor yang tercatat di dalam fail ditangannya. Faezah hanya mengangguk dan menyusun langkah keluar,

“Faezah,” Panggil Azli. Patutkah dia tanyakan pada Faezah atau membiarkan sahaja hal ini? Tapi hari ini hari lahirnya dan dia memang menunggu kedatangan hari ini.

“Ya, Encik Azli,” Faezah memandang lelaki di hadapannya. Lelaki tersebut masih lagi menyelak helaian kertas dari fail yang sama.

“Ada panggilan dari dari kedai kek?” Azli mengalihkan pandangan matanya ke arah Faezah. Mungkin setiausahanya terkejut mendengar soalannya memandangkan terdapat kerutan pada dahi perempuan tersebut.

“Kedai kek? Belum ada lagi. You order kek dari kedai mana? Nanti I call kedai tu,” Faezah sendiri terasa pelik. Sebelum ini majikannya sedikit pun tidak peduli mengenai sambutan hari jadinya apatah lagi membeli kek. Mungkin malam ini majikannya ada rancangan sendiri? Hatinya tersenyum. ‘Takkan la workaholic cam dia ada girlfriend?’ gumam hatinya.

Never mind. You boleh keluar,” Azli melontarkan pandangan ke luar tingkap. Cuaca hari ini agak cerah seolah-olah merestui segala perkara yang akan berlaku. Trafik di jalan besar agak perlahan, mungkin kerana waktu makan tengah hari. Dia mengambil handphonenya dari laci. Tiada sms.

‘Takkan dia lupa? Benda ni dah jadi rutin hidupnya sejak empat tahun lalu jadi mustahil dia dah lupa,’ hatinya bertanya kepada diri sendiri. Atau dia sudah penat melakukan perkara yang sama tanpa ada sebarang keuntungan pada dirinya sendiri? Tak. Mungkin dia cuma sibuk menguruskan kehidupannya sendiri.

Dia bangun dan terus mencapai kot dari coat hanger. Dia tidak mahu persoalan mengenai gadis itu mengganggu urusan hariannya. Dia perlu berjumpa gadis tersebut. Sudah empat tahun dan kali ini dia mahu bersekemuka dengan gadis tersebut.

“Faezah, I nak keluar. Tolong ambil mesej dan kalau penting, call I. I mungkin tak masuk petang ni,” dia akan menunggu sehingga malam jika perlu asalkan dia dapat apa yang dia nak.



Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep Akhir

Azim memandang jauh ke tengah lautan, cuba mencari kekuatan untuk berdiri dan kembali melangkah. Disini dia dan Suhana meluangkan masa hampir dua jam setiap hari. Bercerita, bergelak tawa malah berkongsi rasa. Tiga minggu yang penuh dengan kenangan manis. Walaupun seketika tetapi manisnya tetap terasa.

Siapa tahu, malam sebelumnya dia merancang untuk melamar Suhana dan malam itu juga dia kehilangannya. Azim cuba mengutip kembali kenangan yang terukir di pantai ini untuk di simpan kemas didalam lipatan sejarah hidupnya.

“Sejak tujuh bulan lepas, dia jadi seorang yang pendiam, tak banyak bercakap. Kalau ada orang Tanya sepuluh patah, sepatah je yang dia jawab. Kalau tak, diam sahaja dia kat rumah ni. Dia satu-satunya anak perempuan kami. Bila keadaan dia jadi macam tu, hilang seri rumah kami,” Pak Rahmat menghulurkan sapu tangannya kepada Pak Uda Jamil. Seketika orang tua itu menarik nafas sebelum menyambung kata-katanya.

“Makan minum tak terurus, selalu termenung. Orang kampung banyak yang pandang serong pada Su, cakap yang bukan-bukan tapi kami sabar,” Pak Uda Jamil mengeluh.

“Tapi sejak tiga minggu lepas, Su dah mula berubah, selalu senyum dan mula bercakap dengan ibunya. Dia dah kembali seperti Suhana yang sebelum ini. Dia banyak bercerita pasal Azim. Setiap kali balik ada sahaja cerita yang dia kongsikan. cerita mengenai Khairul dah tenggelam. Masa tu kami syukur sangat sebab doa kami dah dimakbulkan oleh Allah. Dia dah hantar Azim untuk selamatkan Suhana,” walaupun perlahan, masih kedengaran esakan kecil Pak Uda Jamil.

“Pak, saya tahu saya belum kenal Suhana. Tapi pak, saya nak mintak izin dengan bapak. Izinkan saya berkawan dengan Suhana dan saya janji akan menjaga dia lebih dari saya menjaga diri sendiri,” seikhlas hatinya dia ingin bapa Suhana tahu dia sememangnya ikhlas terhadap Suhana.

“Baik sungguh niat anak,” terdengar suara wanita mencelah dengan getaran suara yang sungguh sayu. Dia melihat seorang wanita tua menghampiri mereka lalu melabuhkan punggung di antara dia dan Pak Uda Jamil.

“Kalaulah Su dapat dengar apa yang anak cakapkan, tentu dia gembira,” makin laju air mata yang mengalir menuruni pipi wanita tua itu. Tapi apa yang dimaksudkan olehnya?’ Kalaulah Su dapat dengar?’ Kemana Suhana?

“Saya ikhlas makcik. Jika makcik izinkan, saya ingin melamar Suhana menjadi isteri saya. Saya akan maklumkan kepada keluarga saya untuk bawa rombongan meminang dalam masa yang terdekat,” kata-katanya sedikit pun tidak meredakan tangisan wanita tua itu malah menambahkan lagi sebak yang sedia ada. Kini wanita itu tenggelam didalam pelukan Pak Uda Jamil.

“Maafkan kami nak. Semuanya sudah terlambat. Suhana telah meninggalkan kita semalam,” kini segala persoalan yang bermain di fikirannya telah terjawab. Sekelip mata otot-ototnya gagal berfungsi untuk menstabilkan badannya. Dia jatuh ke tanah mendengar perkhabaran dari mulut bapa Suhana.

Jadi benarlah susuk tubuh yang dilihatnya semalam itu adalah Suhana? Kenapa dia tidak dapat membezakan realiti dan fantasi? Jika dia tidak berangan-angan malam itu tentu dia dapat menyelamatkan Suhana dari lemas.

‘Su, kenapa cepat sungguh Su pergi? Belum sempat saya meluahkan rasa hati, Su telah pun pergi. Hati saya kini kembali sunyi Su. Sesunyi pantai ini, tiada lagi yang sudi menanti, tiada lagi yang akan berlari.’

‘Su, terima kasih kerana sudi mengisi mengubat kekecewaan saya sebelum ini. Walaupun sekejap, luka yang dalam telah sembuh kembali. Saya ucapkan terima kasih kepada Su kerana menunjukkan saya cara untuk bercinta semula.’


“SUHANA, SAYA SAYANGKAN AWAK!”


Suhana yang tertewas dengan godaan cinta dan Azim yang kecewa dengan permainan perasaan bertemu tanpa diduga. Perasaan kasihan bertukar menjadi sayang, luka yang dalam sembuh sekelip mata. Tanpa di minta kasih di antara kedua-duanya bertaut namun hanya sebentar cuma. Kesunyian yang dialami oleh mereka telah dibersihkan oleh angin yang berlalu. Pantai inilah yang mengajar mereka cara untuk bercinta semula. Kini pantai ini kembali sunyi. Yang tinggal hanyalah memori. Kehilangan adalah suatu kerinduan.


Selamat Tinggal Cinta,

Emmy Ab Manaf

31 August 2009, 1.29am


"We're born alone, we live alone, we die alone. Only through our love and friendship can we create the illusion for the moment that we're not alone"

Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 11

Kereta Kancil merah yang di pandu Pak Rahmat berhenti di hadapan rumah papan berwarna kuning langsat bertangga simen berwarna koko. Terdapat beberapa batang pokok kelapa di sekeliling rumah itu. Di tepi tangga pula terdapat pasu-pasu bunga kertas dan ros. Satu pokok ketapang tumbuh merimbun meneduhi laman rumah tersebut.

Kelihatan ramai orang kampung yang sedang berdiri di perkarangan rumah itu. Lelaki, perempuan, tua, muda. Malah ada yang memakai ketayap dan berkopiah. Semuanya berwajah sugul malah ada yang mengelap air mata yang mengalir. Pertanyaan yang timbul dari benaknya tidak mendapat sebarang jawapan dari Pak Rahmat. Mungkin disinilah dia akan menemui semua jawapan yang di carinya sejak dari tadi.

Azim mengekori Pak Rahmat yang menuju ke arah seorang lelaki tua berkopiah lalu menyalaminya. ‘Tadi kata nak ke rumah Suhana, tapi ke sini pulak dia melencong. Kalau ya pun ada kematian, cakap je la. Bukannya aku tak nak ikut,’ omel Azim di dalam hati. Muka lelaki tua separuh abad itu kelihatan serius ketika berbual dengan lelaki disebelahnya. Tangannya menepuk bahu lelaki yang hampir sebaya dengannya mungkin sebagai tanda sokongan moral.

“Encik Azim, mari bapak kenalkan. Ini Pak Uda Jamil, ayah Suhana,” perlahan sahaja suara Pak Rahmat ketika memperkenalkan dirinya. Azim menghulurkan tangan untuk menyalami bakal mertuanya. ‘First impression itu penting’ jadi dia harus menunjukan prestasi yang terbaik.

“Abang Jamil, ni Encik Azim. Anak Dato Zainal, tuan punya villa tu,” aduh. Kenapa la Pak Rahmat perkenalkan dia macam tu. Nanti Nampak macam berbeza pula darjat.

“Apa khabar Encik Azim?” Sapa lembut Pak Uda Jamil.

“Baik Pak. Jangan berencik dengan saya. Panggil je saya Azim,” dia mengukirkan senyuman. Mungkin cuba menambat hati bakal mertua.

“Bapak nak ucapkan terima kasih sebab Azim sudi temankan Su beberapa minggu ni tanpa pandang serong pada dia,” walaupun timbul pertanyaan bagaimana bapa Suhana mengetahuinya namun dia bersyukur kerana lelaki tua itu tidak bersangka buruk dengan niatnya.

“Tak perlu ucap terima kasih pak, saya ikhlas berkawan dengan Su,” walaupun niatnya ikhlas tetapi tidak timbul kegembiraan di wajah Pak Uda Jamil. Adakah dia tersilap menuturkan ayat? Atau sememangnya Pak Uda Jamil tidak suka akan dirinya gara-gara pernah ada sejarah hitam dengan ‘lelaki bandar’?

“Mari nak, kita duduk dulu. Banyak perkara yang bapak nak biacarakan dengan Azim ni,” lelaki tua itu mengatur langkah mengetuai Pak Rahmat dan Azim menuju ke arah sebuah para di bawah pohon beringin.

“Azim tahu kan sejarah hidup dia?” Pandangan Pak Uda Jamil terlontar jauh keluar dari perkarangan rumahnya. Ada sesuatu yang serius yang ingin diucapkan oleh lelaki tua itu. Yang pasti, dia harus bijak menuturkan ayat agar tidak di salah sangka oleh Pak Uda Jamil.

“Ya, saya tahu,” dia memandang Pak Rahmat yang berada di hadapannya. Pandangan Pak Uda Jamil masih lagi kepada jalan raya di hadapan rumahnya.

“Azim tak kisah?” Nada Pak Uda Jamil masih lagi mendatar. Seolah-olah kehilangan emosi.

“Saya ikhlas pak. Bagi saya apa yang telah berlaku itu mungkin kesilapan yang mendewasakan Suhana,” terdengar esakan kecil Pak Uda Jamil. Ini menimbulkan pertanyaan lagi didalam kepala Azim. Terharukah orang tua ini atau?

Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 10

Azim menggosok matanya beberapa kali setelah mendengar ketukan di pintu biliknya. Dia melihat jam di tangan kirinya, 10.30 pagi. Siapa yang mengetuk pintunya? Takkan Mak Jah? Mendengar ketukan tidak bertambah perlahan, dia bangun untuk memastikan siapa yang mengetuk.

“Ada apa Pak Rahmat? Pagi-pagi lagi dah ketuk pintu bilik saya, Mak Jah suruh kejutkan ke?” tangan kanan Azim menutup mulutnya yang menguap.

“Kenapa ni bapak?” Risau dia melihat muka Pak Rahmat yang berkerut seolah-olah ada perkhabaran yang tidak gembira yang ingin disampaikan.

“Suhana,” pendek sahaja jawapan yang diberikan Pak Rahmat. Azim mula gelisah mendengar nama pujaan hatinya disebut Pak Rahmat. Ada sesuatu yang menimpa Suhana?

“Kenapa dengan Suhana bapak?” dia cuba mencari kepastian. Dengupan jantungnya semakin kuat. Adrenalinenya seperti terlebih dirembeskan.

“Tak payah tanya, encik bersiap. Nanti kita ke rumah Suhana,” arah Pak Rahmat. Ke rumah Suhana? Aik! Takkan la Pak Rahmat dah tahu apa yang dirancangkan olehnya semalam? Adakah Pak Rahmat cuba membantu dia mendapatkan Suhana? Haha! Hatinya girang memikirkan Suhana bakal menjadi miliknya tidak lama lagi.

Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 9


Cahaya bulan sangat terang malam itu sehinggakan laut yang terbentang luas di hadapannya umpama sebuah kanvas digital yang beralun manja disapa angin. Begitu mendamaikan jiwa. Matanya menatap selendang putih yang dibeli di pekan tadi. Hatinya tertanya adakah Suhana akan menyukai pemberiannya ini?

Azim membiarkan badannya menghempap tilam empuk di menara. Dia memandang siling diatasnya. Segala kenangannya bersama dengan Suhana selama beberapa minggu ini berputar dilayar siling. Alunan piano dari i-Pod nya memberi sedikit kesan audio terhadap khayalannya sebentar tadi.

Ah! Khayalan. Dia tidak mampu lagi membiarkan rahsia hatinya. Esok dia akan berterus terang dengan Suhana. Biar si dara mengetahui akan debaran yang dirasai, rindu yang ditanggungnya setiap hari malah mimpi yang menjengah dimalam sunyi.

Dia bangkit tatkala irama Unchained Melody menangkap saluran pendengarannya. Teringat akan perkahwinan Siti Nurhaliza yang dihadirinya beberapa tahun lalu. Penuh kemanisan dan kenangan. Suhana juga berhak untuk memiliki sebuah perkahwinan seperti itu setelah lama menderita.

Timbul impian untuk menyunting Suhana menjadi permaisurinya menggantikan Nori. Nori! Sudah lama dia tidak mendengar khabar dari perempuan itu. Dia mengeluh. Sakit hatinya setiap kali teringat akan pengkhianatan Nori terhadapnya. Masih lagi Azim ingat akan kata-kata Zul mengenai Nori yang curang di belakangnya.

Pada mulanya dia hanya fikir Zul cuba untuk memusnahkan kebahagiaannya bersama Nori kerana Nori pernah menolak cinta Zul dan memilih dirinya sebagai kekasih. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya onar Nori terbongkar jua. Dia sendiri yang melihat Nori berpelukan manja dengan Johan didalam lif semasa dia ke Hotel Concorde untuk bertemu dengan Ricky.

Ah! Itu cerita lama. Kini tempat Nori telah di isi oleh Suhana. Pedih hatinya selama ini telah sembuh dirawat oleh kelembutan gadis itu. Racun yang mematikan senyumannya kini juga telah disuburi oleh cinta Suhana.

Azim berjalan menuju kearah dinding kaca di menara. Dia menghantar jauh pandangan matanya mencari sedikit kekuatan agar dia mampu mengharungi satu lagi malam tanpa kehadiran Suhana.

Puas memandang jauh ke tengah lautan, kini pandangan matanya beralih ke arah kuala tempat dia ‘bertemu janji’ dengan Suhana. Dengan berbekalkan cahaya bulan mengambang, matanya dapat menangkap susuk tubuh seorang perempuan sedang duduk di atas pasir.

Berkata hatinya kepada diri sendiri, ‘Suhanakah itu?’ Ah! Tak mungkin Suhana datang lewat malam begini. Dia memerhati lagi. Kini susuk tubuh itu berjalan ke arah gigi air dan terus menyusun langkah ke dalam lautan. Semakin lama, semakin tenggelam susuk tubuh itu sehingga hilang dari pandangan mata.

Sah! Kini hanya bayangan Suhana yang bermain di matanya. Denyutan jantungnya semakin kuat. Malam, cepatlah berlalu. Siang, segera la kau datang.

Tak sanggup lagi dia menahan rahsia hatinya terhadap Suhana.




Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 8

Selesai solat Isya’ berjemaah dengan Pak Rahmat, mereka menuju ke dewan makan. Terasa perutnya berkeroncong dengan bau sup yang dimasak oleh Mak Kiah. Orang tua ini memang pandai menawan seleranya.

Dia membaca doa makan dan diaminkan oleh kedua orang tua tersebut, sambil makan dia melihat suami isteri itu menyiku satu sama lain, seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan keduanya.

Pak Rahmat dan Mak Kiah ni kenapa? Dari tadi lagi saya tengok macam ada yang tak kena saja,” dia menjeling keduanya. Dari ekor matanya sempat menangkap senyuman Pak Rahmat.

Tak ada apalah encik. Cuma kebelakangan ni Mak Kiah Nampak Encik Azim selalu temankan si Suhana tu. Ada apa-apa ke?” Mak Kiah tersenyum lagi.

Tak ada apa la Mak Kiah, kebetulan saya pun tak ada buat apa-apa kat villa ni. Jadi saya rasa tak salahkan kalau saya keluar jalan-jalan kat pantai tu? Lagi pun Mak Kiah jugak yang cakap yang Suhana tu sakit jiwa,” Azim mengalihkan matanya memandang Mak Kiah. Wanita tua itu meletuskan ketawa kecil mendengar kata-kata Azim namun mukanya juga menunjukkan rasa bersalah mungkin kerana dia telah mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya mengenai Suhana kepada Azim.

Jadi, saya nak pastikan la betul ke tidak Suhana tu ada masalah jiwa,” ketawa Azim meletus melihat raut wajah Mak Kiah. Ketawanya di sambut Pak Rahmat. Terkena juga isterinya. Mungkin ini akan memberi sedikit pengajaran, jangan sebarkan cerita buruk mengenai orang lain.

Jadi, apa kesimpulan yang encik dapat selama berbual-bual dengan Suhana?” Perasaan ingin tahu Pak Rahmat membuatkan dia terfikir. Haruskah kedua orang tua itu tahu bahawa kewarasannya telah dikaburi oleh perasaan sayang serta kasih terhadap Suhana? Apa pula penerimaan suami isteri tersebut jika perasaan sebenarnya terserlah?

Saya bukan ahli psikologi Pak,” Azim cuba untuk menyusun ayat yang terbaik buat Suhana agar dirinya tidak lagi disalah erti oleh orang sekeliling. “Tapi setakat ini saya rasa dia normal je. Mungkin dia terlalu berharap lelaki tu dapat menunaikan janji yang dibuat pada Suhana. Itu je.”

Jadi betul la kata orang kampung pasal dia dengan lelaki bandar tu?” Mak Jah cuba mencari gossip terbaru. Mungkin inilah masanya dia membetulkan segala tohmahan yang berlegar dikalangan orang kampung.

Betulnya sedikit berbanding dengan fitnah, Mak Jah.” Senyum Azim melihat kerutan di dahi wanita tua itu.

Apa yang betul, apa yang tidak pulak Encik Azim?” Si suami pula bertanya.

Yang betul tu, dia memang cinta dengan lelaki tu dan memang sedang tunggu lelaki tu datang jemput dia balik. Yang tak betul pulak, cerita pasal dia mengandung tu. Mana ada semua tu Mak Jah. Saya tengok badan Su tu biasa je, tak macam orang sakit,” Azim meneruskan suapan. Cukuplah segala tohmahan yang disebarkan mengenai Suhana. Kasihan akan sang dara pujaan difitnah seperti itu. Mungkin kerana sikap orang kampung yang lebih suka bercerita sesama mereka dari bertanya cerita sebetulnya dari empunya diri.

Tak apa la Encik Azim. Bapak cuma mampu berdoa segala apa yang menimpa Suhana tu tak menjejaskan kewarasan dia. Kita sama-samalah berdoa semoga perkara-perkara buruk tak datang dekat dengan Suhana,” muka suami isteri dihadapannya kini sedikit sugul. Mungkin mengasihani nasib yang menimpa Suhana. Dia hanya mampu mengangguk sahaja, tidak mengeluarkan sebarang komen.