Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 7


Hari ini dia ingin menunggu kedatangan Suhana, ingin disambut kehadiran gadis itu seperti sang arjuna menyambut kedatangan sang dara impian. Tangannya menggenggam satu cengkerang yang dijumpai di tepi pantai semalam sewaktu berjalan pulang ke villa. Ingin dihadiahi sang dara cengkerang itu sebagai tanda ingatan pertemuan yang mereka lakarkan sejak dua minggu yang lalu.

Dia tidak pernah jemu menemani Suhana. Semakin dia mengenali Suhana, semakin terasa sayang untuk melepaskan gadis itu pulang setiap senja. Tutur katanya yang semakin manja melayan percakapannya, gerakan yang lembut tatkala berbicara, malahan Suhana juga lebih banyak berbicara berbanding dirinya sendiri. Kini dia dapat rasakan daya tarikan yang ada pada Suhana.

Dengan wajah yang manis,tubuh yang tinggi lampai, kulit bak telur dikupas, rambut yang panjang mengurai melitupi lehernya yang jinjang, bibir bak delima merekah, senyuman yang manis menggoda, tutur kata yang menyenangkan hati, hati sang arjuna mana tidak tertawan?

Bunyi derap kaki mematahkan ranting-ranting kering di belakangnya mematikan khayalan mengenai Suhana. Kelibat Suhana semakin dekat. Dari jauh dapat diperhatikan senyuman Suhana yang mekar menghiasi wajah ayunya. Suhana mengambil tempat di sebelahnya di bangku itu.

“Awal Azim datang hari ni?” Suhana tersenyum. Ingin sahaja dia biarkan matanya berkata-kata pada Suhana yang dia rindukan Suhana, hatinya ingin meluahkan rasa sayang yang tidak pernah dia rasai sebelum ini. Sungguh aneh pembawaan Suhana pada dirinya. Kehadiran Suhana membuatkan dia lupa segala masalah yang dihadapinya. Kesakitan yang dirasai atas kecurangan Hayati juga terpadam. Kuasa ajaib apakah yang kau ada, Suhana?

“ Saja nak merasai angin pantai. Nyaman,” Azim melemparkan pandangannya ke tengah lautan. Ingin memandang wajah Suhana tapi bimbang jika perbuatannya itu tidak disenangi Suhana.

“Boleh Azim temankan Su jalan-jalan?” Belum sempat dia memberi persetujuan, Suhana telah memandu arah ke gigi pantai. Rambutnya berayun disapa sang bayu. Azim berlari-lari anak cuba menyaingi Suhana tapi belum sempat dia berdiri disebelah gadis itu, Suhana mula berlari-lari meninggalkannya. Tercetus ketawa kecil dari Suhana, mungkin lucu melihat Azim terpinga-pinga.

Azim sekali lagi cuba menyaingi Suhana tetapi gadis itu masih lagi berlari. Sesekali Suhana akan memandang ke belakang cuba melihat kelibat Azim yang masih lagi mengejarnya.

Tiba-tiba langkah Azim terhenti. Satu sudut dihatinya terasa kehilangan gadis itu. Apakah perasaan ini? Dia masih lagi dalam proses mengenali gadis itu tetapi kenapa hatinya terasa sayu melihat gadis itu semakin jauh darinya? Inikah cinta? Inikah sayang? Inikah kasih?

Larian Suhana terhenti pabila melihat Azim tidak lagi mengejarnya. Penatkah anak muda itu? Bisik hati kecilnya. Dia mengatur langkah untuk kembali bersama Azim.

“Kenapa Azim?”

“Tiada apa Su,” Pandangan mereka bersatu. Cahaya yang terpancar dari mata Suhana seolah-olah sedang berbicara dengan hatinya. ‘Tahukah kau Suhana, aku telah tertarik dengan keindahan yang ada pada dirimu? Segala tentang dirimu telah menutup pintu kesepian yang wujud dalam diriku?’

“Azim,” Lembut Suhana menyapa. “ Ada apa-apa yang Azim nak kongsi dengan Su?” ‘Aku ingin kongsi rasa hati ini denganmu Su,’ bisik hati Azim. Tapi mampukah dia meluahkannya kepada Suhana, dengan segala peristiwa yang pernah dilaluinya belum lagi berakhir?

“Tak ada apa Su,” Azim melarikan pandangan matanya ke arah lautan yang terbentang luas. Lalu dia mula berjalan meninggalkan Suhana. Perasaannya berperang antara kemahuan memiliki gadis itu tanpa menyakiti dan risiko kehilangan Suhana jika dia berterus-terang. Suhana mula mengikuti rentak langkah Azim sambil tangannya melakukan gerak tari lembut seperti yang dilakukan di pusat kraf dulu.

“Saya nak Tanya Su sikit boleh?” Azim memulakan bicara. Hari ini dia ingin dapatkan kepastian bagi semua persoalan yang bermain di fikirannya sejak akhir-akhir ini. Suhana hanya mengangguk sambil badannya lemah gemalai menarikan tarian asli.

“Kenapa Su selalu datang ke pantai?” Azim berhati-hati mengeluarkan pertanyaan itu bimbang jika soalannya mengguris hati Suhana. Itu adalah perkara terakhir yang ingin di lakukan terhadap gadis itu.

“Su tunggu Abang Khairul,”

“Siapa Khairul tu?” Tarian Suhana terhenti. Azim jadi serba salah atas keceluparan mulutnya sebentar tadi. Terguriskah hati Suhana pabila kisah cintanya itu disingkap?

“Teman lelaki Su. Dia tinggal kat bandar. Dia janji nak datang jemput Su bila semuanya dah selesai,” Suhana mengukirkan senyuman. Bahagia pabila mengingati janji-janji manis yang ditaburkan oleh lelaki itu.

“Mana Su kenal Khairul?”

“Dia datang bercuti kat chalet hujung sana. Masa tu Su keje kat kilang batik Kampung Kraf. Kami mula-mula jumpa masa dia datang nak belikan songket. Songket tu Su yang pilihkan untuk dia. Dia kata kami punya citarasa yang sama dan sejak hari tu dia selalu datang tengok Su mencanting batik dan menari waktu malam kat pentas Kampung Kraf,” sungguh asyik dia memerhatikan mata Suhana yang memancarkan sinar kasihnya pada lelaki bernama Khairul. Ketika itu tangan itu kembali beraksi. Lembut membelah bayu.


“Bila Khairul nak datang jemput Su?” Azim cuba mencari kepastian. Dia ingin menggunakan setiap detik yang ada bagi menawan hati Suhana. Dia tidak mahu lelaki sebegitu mendapat gadis sebaik Suhana.

“Su pun tak tau. Abang Khairul Cuma kata dia akan datang jemput Su bila kerja dia kat Bandar tu dah siap, “ sedikit rekahan terbit dari ulas bibir Suhana membentuk satu senyuman yang mendamaikan jiwanya. Betapa kekecewaannya tadi terhapus dengan hanya sekuntum senyuman milik Suhana.

Gadis itu meneruskan langkah menghala ke satu batang balak yang hanyut dari laut. Dia menyapu pasir-pasir yang melekat pada batang balak tersebut sebelum menginjakkan badannya sedikit bagi membolehkan dia duduk diatasnya. Lidahnya kelu bagi mencari butir kata yang sesuai bagi menerangkan pada sang dara akan dirinya mungkin telah terpedaya. Kata-kata yang mungkin keluar pasti akan menyakiti hati gadis itu, jadi bagaimana? Haruskah dia berdiam diri bagi menjaga hatinya atau berterus-terang agar Suhana tersedar dari fantasi yang semakin menenggelamkan realiti?

“Hari dah lewat la Azim. Su nak balik dulu la. Esok kita jumpa lagi yer, “ tanpa menunggu persetujuannya, Suhana terus berlalu menghilang disebalik rimbunan pokok-pokok rhu yang bersilih ganti dengan pokok kelapa. Hilang sahaja bayangan Suhana, dia menyusun kembali langkahnya menghala ke villa.

Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 6

Hari ini hari yang kelima dia bertemu dengan Suhana. Hari pertama, penerimaan Suhana agak dingin. Hari kedua juga tidak berubah. Sepuluh patah perkataan yang ditanya, satu patah sahaja yang dijawab. Jadi hari ketiga dan keempat Azim hanya menemani Suhana tanpa berbicara. Dia akan duduk dihadapan Suhana, memerhatikan gerakan jari runcing itu mencoret pada pasir. Suhana cuma berbicara untuk memberitahu dia ingin pulang.


Dari jauh susuk tubuh Suhana jelas kelihatan. Dengan pakaian serba putih dan rambut yang dibuai bayu, dia sememangnya seorang yang cantik. Semakin dekat Azim dengan Suhana, semakin kuat bau wangian Suhana yang dapat dihidunya. Dia melabuhkan punggungnya di hadapan Suhana, memerhatikan Suhana yang baru siap melukis satu empat segi besar sebagai ‘frame’ bagi lukisannya.


“Encik Azim datang lagi?” Suhana menyapa tanpa memandang wajah Azim. Jika dia melihat wajah Azim ketika itu sudah pasti dia akan tahu Azim terkejut dengan sapaannya. Walaupun berbentuk pertanyaan tapi masih lagi lembut dan berbudi bahasa.


“Ya, saya akan datang setiap hari menemani Suhana,” tiba-tiba ayat itu terpacul dari mulut Azim. Dia kaget memikirkan penerimaan Suhana mengenai kata-katanya tadi.


“Saya tak pernah nampak Encik Azim sebelum ni. Encik Azim tinggal dimana?” Suhana masih asyik dengan lukisannya. Namun bagi Azim ini adalah permulaan yang baik. Suhana sudah mahu berbicara dengannya.


“Saya tinggal di villa depan sana,”


“Saya tahu. Maksud saya tempat asal Encik Azim,” Gerakan tangan Suhana berhenti seketika. Dia memandang wajah Azim. Tatkala itu pandangan mereka bersatu. Mata Suhana yang bulat bersinar menghantar satu isyarat pada satu sudut hati Azim. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya berdegup laju. Perasaan apakah ini? Cintakah dia pada gadis didepannya ini? Azim mengalihkan pandangannya ke arah laut.


“Saya dari Damansara,” Azim melihat tangan Suhana yang terhenti dari melukis. Lalu dia alihkan pandangannya ke wajah Suhana. Suhana sedang memandangnya. Hatinya masih berdebar. Kenapa dia merasakan perasaan ini? Suhana kelihatan bersahaja tanpa ada sedikit pun rasa terganggu. Namun hati Azim terasa lega pabila ada satu senyuman terukir di bibir mugil gadis itu.


“Saya lihat Suhana selalu datang ke sini, setiap hari,”


“Encik Azim memerhati Su ke selama ini?” Senyumannya mati, berganti dengan pertanyaan. Azim terasa serba salah dengan pertanyaannya tadi.


“Pertama sekali jangan panggil saya “encik”, panggil je Azim. Yang kedua saya tidak memerhati Suhana, cuma terpandang kelibat Suhana masa saya di menara sana tu,” Tunjukkan jari Azim membawa tolehan Suhana kearah menara di villanya.


“Azim pun seharusnya pendekkan nama Suhana, panggil je Su,” sekali lagi Suhana tersenyum. Hatinya berdebar lagi. Sungguh tenang dia bersama dengan Suhana. Percakapannya yang lembut, gerak-gerinya yang mengasyikkan, pemandangan yang diberi Suhana sungguh menenangkan jiwanya.


‘Bagaimana Suhana mampu memberi satu rasa tenang, damai dan mengasyikkan?’ Bisik hati Azim. Apa yang dirasainya kini tidak dijual di spa yang terkemuka, butik tersohor malahan keasyikkan ini jua tidak dapat diperolehi dari Paris, Milan, Rome atau negara-negara yang pernah di lawatinya sebelum ini.


Tangan Suhana telah berhenti menari. Ini membawa mata Azim meniti jari jemari halus itu dan kembali menatap wajah Suhana. Baru disedari Suhana tidak pernah mengalihkan pandangan mata dari wajahnya.


“Kenapa Su berhenti melukis?” Tangan Suhana masih lagi statik memegang ranting di titik terakhir. Wajah ayu dihadapannya kini tidak berhenti dari melakarkan senyuman. Bibirnya yang kemerahan bak delima, sungguh menggoda. Tiba-tiba Suhana menggosokkan kedua-dua tangannya dari pasir putih yang melekat lalu dia perlahan-lahan berdiri.


“Hari dah makin senja. Su kena pulang. Nanti bapak cari,” lembut sahaja tutur yang keluar dari mulut Suhana. Haruskah dia melepaskan Suhana pulang? Terasa masa agak singkat tatkala mereka bersua. Belum puas dia mendengar Suhana berbicara, lukisannya tadi juga belum siap dilakar seperti hari-hari yang lepas. Belum lagi dihias dengan cengkerang-cengkerang kecil. Dengan berat hati dia terpaksa melepaskan Suhana pulang.



Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 5


Azim memerhati Suhana yang bersimpuh dari belakang. Walaupun jarak Azim dari Suhana hanyalah lima kaki, namun bau wangian Suhana menyapa deria baunya. Bau mawar segar. Sesegar pemandangan yang ada di hadapannnya sekarang.

Seorang gadis berpakaian putih sedang bersimpuh, dengan rambut yang panjang dan lembut terbuai disapa bayu, wangian yang cukup wangi, gerakan tangan yang lembut mencoret pada kanvas pasir, serta berlatarbelakangkan pemandangan laut yang membiru. Dia merasakan dia sedang melihat pandangan yang paling indah yang yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

“Assalamualaikum,” Azim menyapa Suhana.

“Waalikummussalam,” Ada senyuman di bibir Suhana namun dia mati tatkala terpandang wajah Azim lalu Suhana mengalihkan pandangannya kembali pada coretannya tadi. Dingin sekali penerimaan Suhana pada Azim. Namun Azim menganggap ianya sebagai permulaan.

“Jika coretan pada pasir itu di alih pada kanvas sebenar, tentu cantik apatah lagi jika ia disertakan dengan warna yang sesuai,” Azim cuba memancing Suhana supaya bercakap. Pada fikirannya, bercerita mengenai seni mungkin akan menarik minat Suhana untuk berbicara dengannya.

“Terima kasih,” Suara Suhana selembut dan semerdu yang didengar didalam bilik tadi. Suhana masih lagi mencoret tanpa henti. Sesekali tangannya menyusun kulit-kulit siput serta cengkerang pada coretannya. Azim berjalan ke arah Suhana dan berdiri secara berdepan dengan Suhana.

“Saya Azim,” Dia menghulurkan tangan.

“Saya Suhana,” Mata Suhana masih tidak berganjak, masih lagi menyusun cengkerang-cengkerang kecil di atas pasir. Makin diperhatikan baru Azim mengerti tujuan Suhana berbuat demikian. Ia adalah gambar pemandangan tepi laut mengenai seorang gadis di bawah pokok rhu.

“Cantik lukisan Suhana. Kenapa Suhana tak melukis pada kanvas sebenar?” Azim tidak putus asa. Dia masih mahu mengajak Suhana berbual. Suhana mendongak memadang kearahnya. Tiada senyuman terukir.

“Hari dah senja. Su pulang dulu,” Gadis itu terus bangkit, menjinjit seliparnya dan memandang sekeliling, mungkin mencari seseorang. Azim hanya memerhati perbuatan Suhana. Beberapa saat kemudian dia menghantar pemergian Suhana hanya dengan pandangan mata dengan harapan akan berjumpa gadis itu lagi esok.

Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 4

Ceria sahaja Azim pagi ini. Semalam dia berfikir mengenai Suhana dan hari ini dia bertekad ingin berbicara dengan Suhana. Ada sesuatu pada diri Suhana yang menarik hatinya. Dia ingin berbual-bual dengan Suhana, mengenalinya dengan lebih dekat. Dia juga ingin menyelami perasaan gadis yang bernama Suhana sambil menyelidik kebenaran cerita Mak Piah.


Azim sekali lagi merebahkan badannya ke katil berbentuk cengkerang di menara. Terasa hangat dan bahagia apabila memikirkan Suhana. Yang ada di hati dan fikirannya juga Suhana. Suhana di sana, Suhana di sini. Suhana ada dimana-mana. Terasa lambat masa berlalu. Jika dia boleh memutar waktu, akan dipercepatkan masa agar dia dapat segara bertemu dengan Suhana. Suhana, Suhana….


“Abang Azim tunggu saya?” Suhana menyapa lembut. Ariff terkejut. Bagaimana Suhana boleh sampai ke menara? Adakah Mak Piah menjemput Suhana ke villa? Bau wangian Suhana memenuhi setiap ruang seraya dia lembut menyusun langkah kedalam bilik di menara. Suhana masuk dan duduk di kerusi di tepi dinding kaca. Senyumannya yang manis, menunjukkan lesung pipit di pipi kiri dan kanan. Rambutnya yang panjang kehitaman berayun lembut pabila Suhana menyikatnya dengan jari jemarinya yang halus. Kulitnya yang putih bersih menambahkah lagi keayuan Suhana. Jantung Azim berdengup laju. Suhana sudah berada didepannya.


“Suhana,” Azim menyebut lembut nama gadis itu. Tidak pernah dia merasakan perasaan halus menyelubungi dirinya seperti sekarang. Terasa nyaman, damai, hangat. Semua perasaan bercampur menjadi satu.


Kring! Kring! Kring!


Telefon berbunyi. Tertera nama “MAMA” di skrin. Dia melihat kerusi di sisi dinding kaca, Suhana tiada. Dia mencari di dalam bilik menara, juga tiada. Jam di skrin menunjukkan jam 4.00 petang. Astargfirullahhal Azim. Dia bermimpi mengenai Suhana.


“Hello mama,” Dihujung talian terdengar suara mamanya. “Azim ada di villa, di Pantai Bisikan Bayu,” dia mendengar omelan dari mamanya. Dia mengakui sememangnya dia silap pabila tidak menceritakan mengenai sesiapa akan pemergiannya kali ini. Cuma dia perlukan masa untuk bersendirian apatah lagi setelah dua tahun dia menumpukan perhatian terhadap urusan kerja.


“Azim tak tau lagi mama. Mungkin seminggu dua lagi Azim balik. Azim nak rehat secukupnya, mama. Nak recharge tenaga dan idea ni…. Ya, Azim janji.. Ya..Okey, bye,” Talian diputuskan. Dia tercari-cari kelibat Suhana. Memang sah dia mimpikan Suhana. Selepas putus tunang dengan Hidayu, dia tidak pernah keluar dengan mana-mana perempuan apatah lagi mimpikan mereka. Tapi Suhana? Kenal pun belum tapi dia sudah dimainkan dalam mimpi.


Azim bangun dan berjalan kearah dinding kaca. Dia melontarkan pandangan ke arah kuala kecil. Kelihatan kelibat Suhana berjalan diantara pokok-pokok rhu sambil menjinjit sepatu putih, seperti biasa. Azim dengan segera turun ke aras dua untuk menukar pakaian. Hari ini dia akan bersemuka dengan Suhana.



Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 3

“Mak Piah,” fikirannya hanya memainkan kembali ingatan mengenai gadis misteri. Ingin sekali diluahkan pertanyaan kepada Mak Kiah, mungkin wanita tua ini ada jawapan bagi setiap persoalannya.

“Ada apa encik? Tom Yam tu tak sedap ke?” berkerut dahi Mak Kiah. Nada suara anak majikannya itu kedengaran lain dari biasa. Tapi beberapa saat kemudian dia terdengar anak muda itu ketawa.

“Masakan Mak Kiah ni memang tak ada kurangnya. Orang putih cakap “perfect”,” Azim ketawa kecil melihat kerut di dahi wanita tua itu. Otot-otot yang membentuk kerutan itu mula membentuk senyuman di bibir.

“Mak Kiah perasan tak, ada seorang gadis yang berpakaian putih di seberang kuala sana?”

“Oh, itu Suhana,”cepat Pak Rahmat memberi jawapan. Azim mengukirkan senyuman, gembira pabila memikirkan gadis misteri itu bukan jelmaan sesiapa. Gadis misteri itu wujud di alam nyata, alam yang didiaminya.

“Suhana tu selalu ke datang ke kuala tu bapak?” Pak Rahmat dan Mak kiah memandang anak muda dihadapan mereka. Tiba-tiba pula Suhana menarik perhatian Azim. Menurut Noni, pembantu rumah Datuk Zainal, sejak Azim putus tunang tiga tahun lepas, dia tidak pernah berbicara mengenai mana-mana gadis. Malahan gadis-gadis yang di perkenalkan kepadanya pun tidak berjaya menimbulkan sebarang perasaan ingin tahu Ariff.

“Mana encik nampak Suhana?” Mak Piah cuba mencungkil rahsia.

“Dari menara. Hari ni dah masuk hari ketiga Mak Piah. Saya tak sengaja. Cuma bila ada kat atas sana, saya buka langsir tu sambil tengok laut. Bila saya perhatikan seberang kuala saya nampak dia. Selalu ke dia datang ke kuala tu Mak Piah?”

“Erm.. Sejak dia balik dari bandar beberapa bulan lepas, tiap-tiap petang dia akan ada kat situ,” jawab Mak Kiah. Azim mengangguk. Maknanya dia akan dapat melihat gadis misteri itu setiap hari. Senyuman terukir dibibirnya.

“Suhana tu, dia tunggu sesiapa ke Mak Piah?”

“Entah la. Mungkin kot. Mungkin juga dia dah sakit jiwa,” Pak Rahmat menyiku isterinya. Ini menimbulkan kerutan di dahi Azim.

“Kenapa Mak Piah cakap macam tu? Apa dah jadi dengan Suhana?”

“Mak Piah pun sebenarnya tak tahu sangat cerita pasal Suhana ni tapi dari yang Mak Piah dengar dari orang kampung, Suhana tu jatuh hati dengan seorang lelaki dari bandar. Kat bawah pokok rhu tu la dia selalu jumpa lelaki tu. Bila dah jatuh sayang ni, dia setuju ikut lelaki tu balik ke bandar, konon-kononnya tak sanggup berpisah. Dah sampai kat bandar, dia dapat tahu lelaki tu dah ada tunang tapi sebab dia sayang sangat, dia masih sanggup terima lelaki tu sebab dia lelaki tu janji nak kahwin dengan dia. Entah di mana silap, si Suhana tu mengandung. Ya la, anak haram siapa yang mahu. Jadi lelaki tu mintak dia gugurkan anak tu.”

“Ish, awak ni Piah. Jangan burukkan orang!” marah Pak Rahmat.

“Saya bukan nak burukkan dia abang. Ini yang saya dengar dari orang kat pasar tu,” Mak Piah menjeling suaminya.

“Apa jadi lepas tu Mak Piah?” Azim masih ingin tahu mengenai Suhana. Ada sesuatu mengenai Suhana yang menarik perhatiannya.

“Sekali lagi sebab sayang, dia turut je kata-kata lelaki tu sebab lelaki tu janji nak kahwin dengan dia. Kenapa dia balik ke kampung Mak Piah tak ada pula dengar sebab-sebabnya. Itu je yang Mak Piah tahu,” Mak Piah menyambung kerjanya memcuci pinggan.

“Siapa lelaki tu Mak Piah?”

“Entah la. Mak Piah pun tak tahu. Yang Mak Piah dengar lelaki tu anak orang kaya kat bandar sana. Kiranya anak orang terkenal la jugak,”

“Macam mana mereka boleh kenal, Mak Piah?”

“Kalau tak silap Mak Piah, lelaki tu datang bercuti dengan kawan-kawan dia kat chalet hujung pantai sana sebab masa tu Suhana kerja dekat dengan pusat kraftangan, jadi tukang cat batik, malam pula dia jadi penari tarian tradisonal kat pusat kraf tu” Baru kini dia tahu kenapa tangan gadis tu sentiasa bergerak seolah-olah menulis sambil menari.

“Encik Azim tanya pasal Suhana ni, kenapa?” Giliran Pak Rahmat pula bertanya.

“Tak ada apa pak. Saya masuk dulu la. Hari pun dah makin lewat. Selamat malam Pak Rahmat, Mak Piah. Assalamualaikum,” dia bangun dari meja makan dan mendaki tangga ke tingkat dua.

“Waalaikummussalam,” jawab Pak Rahmat dan Mak Piah serentak.

Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 2

Sudah tiga hari dia berada di villa. Keasyikan yang diberi oleh alam yang terbentang luas dihadapannya itu membuatkan dia lupa akan kesibukan di kota. Dia menarik langsir dimenara dan membiarkan menara kaca itu menerima sinaran matahari waktu petang. Dia memandang sekeliling dan melihat ke seberang kuala kecil yang terbentuk di hujung pagar villa.


Gadis itu! Kali ini dia memerhati dengan lebih teliti. Secara mata kasar, gadis itu masih lagi memakai blouse dan skirt labuh berwarna putih seperti dua hari yang lepas. Rambutnya yang panjang dan lurus di dandan ringkas. Hanya satu ikatan kecil dari rambut disisi kiri dan kanan lalu di ikat di belakang, juga sama. Perbuatannya juga sama. Dia datang dan duduk dibangku kecil di bawah pokok rhu sambil melontarkan satu pandangan yang jauh ke tengah laut seolah-olah ada sesuatu akan timbul lantaran pandangan matanya.


Azim menarik wingchair dan duduk sambil memerhati perbuatan gadis misteri itu. Waktu, pakaian serta perbuatan yang sama setiap hari. Adakah gadis itu wujud atau hanya khayalannya? Gadis itu bangun dan mencapai satu ranting dan mula bersimpuh di atas pasir putih dan tangannya bergerak seolah-olah sedang melakar sesuatu. Setelah itu gadis itu berbaring diatas pasir dan memandang langit. Walaupun tidak jelas, akan tetapi Azim pasti gadis itu sedang tersenyum. Tiba-tiba hatinya juga turut tersenyum. Terhibur dengan perbuatan aneh gadis misteri.


Tepat jam 6.30 petang, gadis itu mula bangun dari pembaringan. Dia mula melihat sekeliling seperti mencari seseorang. Dia melihat gadis itu melontarkan satu keluhan yang berat dari hati seperti satu kehampaan yang melanda hatinya. Dia mula mengatur langkah longlai tidak seperti langkah yang ceria membawa dia ke pantai awal-awal tadi. Adakah dia sedang menunggu seseorang? Siapakah gerangan yang ditunggu gadis misteri itu? Setiap harikah dia begitu?



Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Episode 1

Penat. Itu yang mampu diucapkan setelah menghabiskan masa tujuh jam memandu ke Villa Impiana. Jauh dari kertas kerja, mesyuarat, kebisingan kota, pencemaran udara serta manusia yang hipokrit. Kini dia bersendirian di temani bunyi bayu, deruan ombak yang menghempas pantai dan aroma pasir yang memutih.

Dia memerhati keadaan di sekeliling vila. Hampir dua tahun dia tidak menjejakkan kaki ke vila ini. Dengan kesibukan yang dilalui setiap hari, mana mungkin dia punya masa untuk bersendirian seperti hari ini. Entah apa yang membawa dia ke mari. Memandangkan projek Bandar Satelit II telah siap sepenuhnya, tanggungjawab yang dipikul selama dua tahun ini juga berakhir. Selesai sahaja mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah pagi tadi, dia memandu pulang ke rumah dan mengemaskan pakaian. Pada mulanya Bukit Tinggi bermain di fikiran, tetapi apabila sampai di persimpangan Bukit Tinggi dia terus memandu ke arah Bentong.

“Encik Azim, bila sampai?” suara lelaki tua menyapa dari belakang. Dia berpaling dan melihat Pak Rahmat memandang kehairanan.

“Baru sebentar pak. Saya ingat bapak tak ada dirumah. Saja melihat kawasan sekeliling. Rasanya dah lama saya tidak ke mari,” Azim mengukir senyuman buat si tua sambil berjalan untuk menyalami lelaki itu.

“Bapak ada encik. Kereta bapak tu, bapak hantar ke pekan untuk servis. Mari encik kita masuk. Mak Piah ada kat dalam. Nanti bapak minta dia kemaskan bilik encik,” Pak Rahmat berjalan mendahului Azim dan membuka pintu utama villa.

“Baik pak. Tapi minta Mak Piah kemaskan bilik di menara ya pak. Saya nak guna bilik tu,”

“Baik, encik.’

Azim berjalan memasuki ruang tengah villa sambil melihat keadaan susun atur perabot didalamnya. Keadaan memang teratur dan bersih. Sememangnya papanya tidak silap membayar suami isteri ini menjaga villa mewah ini. Persekitaran didalam dan diluar rumah dijaga setiap masa walaupun mereka sekeluarga hanya datang setahun sekali ke villa ini.


Dia berjalan kearah dinding kaca dan menarik langsir hijau bagi mendapat sedikit cahaya matahari lalu merebahkan badannya ke atas sofa lembut di ruang tamu. Villa mewah yang dibina empat tahun lalu ini hadiah dari papa buat mereka sekeluarga sebagai tanda penghargaan diatas sokongan sepanjang penglibatan papa dalam industri pembinaan dan hartanah sehingga dinobatkan sebagai CEO Of The Year lima tahun lalu.

Di sinilah mereka menghabiskan masa setiap hujung bulan Jun, jauh dari hiruk pikuk kota. Villa yang bertemakan Bali-Inggeris ini dibina menghadap laut yang mana terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sayap kiri dan kanan serta ruang tengah. Sayap kiri menempatkan dewan makan serta bahagian dapur, sayap kanan pula terdapat ruang rehat dan bahagian tengah adalah ruang luas yang menghadap laut. Bagi menonjolkan keindahan pantai, papa telah membina dinding kaca bagi menggantikan dinding konkrit bagi aras satu. Aras dua pula menempatkan lapan bilik dan satu pejabat serta satu lagi bilik berbentuk menara Rapunzel di aras tiga.