Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 5


Azim memerhati Suhana yang bersimpuh dari belakang. Walaupun jarak Azim dari Suhana hanyalah lima kaki, namun bau wangian Suhana menyapa deria baunya. Bau mawar segar. Sesegar pemandangan yang ada di hadapannnya sekarang.

Seorang gadis berpakaian putih sedang bersimpuh, dengan rambut yang panjang dan lembut terbuai disapa bayu, wangian yang cukup wangi, gerakan tangan yang lembut mencoret pada kanvas pasir, serta berlatarbelakangkan pemandangan laut yang membiru. Dia merasakan dia sedang melihat pandangan yang paling indah yang yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

“Assalamualaikum,” Azim menyapa Suhana.

“Waalikummussalam,” Ada senyuman di bibir Suhana namun dia mati tatkala terpandang wajah Azim lalu Suhana mengalihkan pandangannya kembali pada coretannya tadi. Dingin sekali penerimaan Suhana pada Azim. Namun Azim menganggap ianya sebagai permulaan.

“Jika coretan pada pasir itu di alih pada kanvas sebenar, tentu cantik apatah lagi jika ia disertakan dengan warna yang sesuai,” Azim cuba memancing Suhana supaya bercakap. Pada fikirannya, bercerita mengenai seni mungkin akan menarik minat Suhana untuk berbicara dengannya.

“Terima kasih,” Suara Suhana selembut dan semerdu yang didengar didalam bilik tadi. Suhana masih lagi mencoret tanpa henti. Sesekali tangannya menyusun kulit-kulit siput serta cengkerang pada coretannya. Azim berjalan ke arah Suhana dan berdiri secara berdepan dengan Suhana.

“Saya Azim,” Dia menghulurkan tangan.

“Saya Suhana,” Mata Suhana masih tidak berganjak, masih lagi menyusun cengkerang-cengkerang kecil di atas pasir. Makin diperhatikan baru Azim mengerti tujuan Suhana berbuat demikian. Ia adalah gambar pemandangan tepi laut mengenai seorang gadis di bawah pokok rhu.

“Cantik lukisan Suhana. Kenapa Suhana tak melukis pada kanvas sebenar?” Azim tidak putus asa. Dia masih mahu mengajak Suhana berbual. Suhana mendongak memadang kearahnya. Tiada senyuman terukir.

“Hari dah senja. Su pulang dulu,” Gadis itu terus bangkit, menjinjit seliparnya dan memandang sekeliling, mungkin mencari seseorang. Azim hanya memerhati perbuatan Suhana. Beberapa saat kemudian dia menghantar pemergian Suhana hanya dengan pandangan mata dengan harapan akan berjumpa gadis itu lagi esok.

No comments:

Post a Comment