Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 6

Hari ini hari yang kelima dia bertemu dengan Suhana. Hari pertama, penerimaan Suhana agak dingin. Hari kedua juga tidak berubah. Sepuluh patah perkataan yang ditanya, satu patah sahaja yang dijawab. Jadi hari ketiga dan keempat Azim hanya menemani Suhana tanpa berbicara. Dia akan duduk dihadapan Suhana, memerhatikan gerakan jari runcing itu mencoret pada pasir. Suhana cuma berbicara untuk memberitahu dia ingin pulang.


Dari jauh susuk tubuh Suhana jelas kelihatan. Dengan pakaian serba putih dan rambut yang dibuai bayu, dia sememangnya seorang yang cantik. Semakin dekat Azim dengan Suhana, semakin kuat bau wangian Suhana yang dapat dihidunya. Dia melabuhkan punggungnya di hadapan Suhana, memerhatikan Suhana yang baru siap melukis satu empat segi besar sebagai ‘frame’ bagi lukisannya.


“Encik Azim datang lagi?” Suhana menyapa tanpa memandang wajah Azim. Jika dia melihat wajah Azim ketika itu sudah pasti dia akan tahu Azim terkejut dengan sapaannya. Walaupun berbentuk pertanyaan tapi masih lagi lembut dan berbudi bahasa.


“Ya, saya akan datang setiap hari menemani Suhana,” tiba-tiba ayat itu terpacul dari mulut Azim. Dia kaget memikirkan penerimaan Suhana mengenai kata-katanya tadi.


“Saya tak pernah nampak Encik Azim sebelum ni. Encik Azim tinggal dimana?” Suhana masih asyik dengan lukisannya. Namun bagi Azim ini adalah permulaan yang baik. Suhana sudah mahu berbicara dengannya.


“Saya tinggal di villa depan sana,”


“Saya tahu. Maksud saya tempat asal Encik Azim,” Gerakan tangan Suhana berhenti seketika. Dia memandang wajah Azim. Tatkala itu pandangan mereka bersatu. Mata Suhana yang bulat bersinar menghantar satu isyarat pada satu sudut hati Azim. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya berdegup laju. Perasaan apakah ini? Cintakah dia pada gadis didepannya ini? Azim mengalihkan pandangannya ke arah laut.


“Saya dari Damansara,” Azim melihat tangan Suhana yang terhenti dari melukis. Lalu dia alihkan pandangannya ke wajah Suhana. Suhana sedang memandangnya. Hatinya masih berdebar. Kenapa dia merasakan perasaan ini? Suhana kelihatan bersahaja tanpa ada sedikit pun rasa terganggu. Namun hati Azim terasa lega pabila ada satu senyuman terukir di bibir mugil gadis itu.


“Saya lihat Suhana selalu datang ke sini, setiap hari,”


“Encik Azim memerhati Su ke selama ini?” Senyumannya mati, berganti dengan pertanyaan. Azim terasa serba salah dengan pertanyaannya tadi.


“Pertama sekali jangan panggil saya “encik”, panggil je Azim. Yang kedua saya tidak memerhati Suhana, cuma terpandang kelibat Suhana masa saya di menara sana tu,” Tunjukkan jari Azim membawa tolehan Suhana kearah menara di villanya.


“Azim pun seharusnya pendekkan nama Suhana, panggil je Su,” sekali lagi Suhana tersenyum. Hatinya berdebar lagi. Sungguh tenang dia bersama dengan Suhana. Percakapannya yang lembut, gerak-gerinya yang mengasyikkan, pemandangan yang diberi Suhana sungguh menenangkan jiwanya.


‘Bagaimana Suhana mampu memberi satu rasa tenang, damai dan mengasyikkan?’ Bisik hati Azim. Apa yang dirasainya kini tidak dijual di spa yang terkemuka, butik tersohor malahan keasyikkan ini jua tidak dapat diperolehi dari Paris, Milan, Rome atau negara-negara yang pernah di lawatinya sebelum ini.


Tangan Suhana telah berhenti menari. Ini membawa mata Azim meniti jari jemari halus itu dan kembali menatap wajah Suhana. Baru disedari Suhana tidak pernah mengalihkan pandangan mata dari wajahnya.


“Kenapa Su berhenti melukis?” Tangan Suhana masih lagi statik memegang ranting di titik terakhir. Wajah ayu dihadapannya kini tidak berhenti dari melakarkan senyuman. Bibirnya yang kemerahan bak delima, sungguh menggoda. Tiba-tiba Suhana menggosokkan kedua-dua tangannya dari pasir putih yang melekat lalu dia perlahan-lahan berdiri.


“Hari dah makin senja. Su kena pulang. Nanti bapak cari,” lembut sahaja tutur yang keluar dari mulut Suhana. Haruskah dia melepaskan Suhana pulang? Terasa masa agak singkat tatkala mereka bersua. Belum puas dia mendengar Suhana berbicara, lukisannya tadi juga belum siap dilakar seperti hari-hari yang lepas. Belum lagi dihias dengan cengkerang-cengkerang kecil. Dengan berat hati dia terpaksa melepaskan Suhana pulang.



No comments:

Post a Comment