Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Episode 1

Penat. Itu yang mampu diucapkan setelah menghabiskan masa tujuh jam memandu ke Villa Impiana. Jauh dari kertas kerja, mesyuarat, kebisingan kota, pencemaran udara serta manusia yang hipokrit. Kini dia bersendirian di temani bunyi bayu, deruan ombak yang menghempas pantai dan aroma pasir yang memutih.

Dia memerhati keadaan di sekeliling vila. Hampir dua tahun dia tidak menjejakkan kaki ke vila ini. Dengan kesibukan yang dilalui setiap hari, mana mungkin dia punya masa untuk bersendirian seperti hari ini. Entah apa yang membawa dia ke mari. Memandangkan projek Bandar Satelit II telah siap sepenuhnya, tanggungjawab yang dipikul selama dua tahun ini juga berakhir. Selesai sahaja mesyuarat dengan ahli lembaga pengarah pagi tadi, dia memandu pulang ke rumah dan mengemaskan pakaian. Pada mulanya Bukit Tinggi bermain di fikiran, tetapi apabila sampai di persimpangan Bukit Tinggi dia terus memandu ke arah Bentong.

“Encik Azim, bila sampai?” suara lelaki tua menyapa dari belakang. Dia berpaling dan melihat Pak Rahmat memandang kehairanan.

“Baru sebentar pak. Saya ingat bapak tak ada dirumah. Saja melihat kawasan sekeliling. Rasanya dah lama saya tidak ke mari,” Azim mengukir senyuman buat si tua sambil berjalan untuk menyalami lelaki itu.

“Bapak ada encik. Kereta bapak tu, bapak hantar ke pekan untuk servis. Mari encik kita masuk. Mak Piah ada kat dalam. Nanti bapak minta dia kemaskan bilik encik,” Pak Rahmat berjalan mendahului Azim dan membuka pintu utama villa.

“Baik pak. Tapi minta Mak Piah kemaskan bilik di menara ya pak. Saya nak guna bilik tu,”

“Baik, encik.’

Azim berjalan memasuki ruang tengah villa sambil melihat keadaan susun atur perabot didalamnya. Keadaan memang teratur dan bersih. Sememangnya papanya tidak silap membayar suami isteri ini menjaga villa mewah ini. Persekitaran didalam dan diluar rumah dijaga setiap masa walaupun mereka sekeluarga hanya datang setahun sekali ke villa ini.


Dia berjalan kearah dinding kaca dan menarik langsir hijau bagi mendapat sedikit cahaya matahari lalu merebahkan badannya ke atas sofa lembut di ruang tamu. Villa mewah yang dibina empat tahun lalu ini hadiah dari papa buat mereka sekeluarga sebagai tanda penghargaan diatas sokongan sepanjang penglibatan papa dalam industri pembinaan dan hartanah sehingga dinobatkan sebagai CEO Of The Year lima tahun lalu.

Di sinilah mereka menghabiskan masa setiap hujung bulan Jun, jauh dari hiruk pikuk kota. Villa yang bertemakan Bali-Inggeris ini dibina menghadap laut yang mana terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sayap kiri dan kanan serta ruang tengah. Sayap kiri menempatkan dewan makan serta bahagian dapur, sayap kanan pula terdapat ruang rehat dan bahagian tengah adalah ruang luas yang menghadap laut. Bagi menonjolkan keindahan pantai, papa telah membina dinding kaca bagi menggantikan dinding konkrit bagi aras satu. Aras dua pula menempatkan lapan bilik dan satu pejabat serta satu lagi bilik berbentuk menara Rapunzel di aras tiga.

No comments:

Post a Comment