Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 7


Hari ini dia ingin menunggu kedatangan Suhana, ingin disambut kehadiran gadis itu seperti sang arjuna menyambut kedatangan sang dara impian. Tangannya menggenggam satu cengkerang yang dijumpai di tepi pantai semalam sewaktu berjalan pulang ke villa. Ingin dihadiahi sang dara cengkerang itu sebagai tanda ingatan pertemuan yang mereka lakarkan sejak dua minggu yang lalu.

Dia tidak pernah jemu menemani Suhana. Semakin dia mengenali Suhana, semakin terasa sayang untuk melepaskan gadis itu pulang setiap senja. Tutur katanya yang semakin manja melayan percakapannya, gerakan yang lembut tatkala berbicara, malahan Suhana juga lebih banyak berbicara berbanding dirinya sendiri. Kini dia dapat rasakan daya tarikan yang ada pada Suhana.

Dengan wajah yang manis,tubuh yang tinggi lampai, kulit bak telur dikupas, rambut yang panjang mengurai melitupi lehernya yang jinjang, bibir bak delima merekah, senyuman yang manis menggoda, tutur kata yang menyenangkan hati, hati sang arjuna mana tidak tertawan?

Bunyi derap kaki mematahkan ranting-ranting kering di belakangnya mematikan khayalan mengenai Suhana. Kelibat Suhana semakin dekat. Dari jauh dapat diperhatikan senyuman Suhana yang mekar menghiasi wajah ayunya. Suhana mengambil tempat di sebelahnya di bangku itu.

“Awal Azim datang hari ni?” Suhana tersenyum. Ingin sahaja dia biarkan matanya berkata-kata pada Suhana yang dia rindukan Suhana, hatinya ingin meluahkan rasa sayang yang tidak pernah dia rasai sebelum ini. Sungguh aneh pembawaan Suhana pada dirinya. Kehadiran Suhana membuatkan dia lupa segala masalah yang dihadapinya. Kesakitan yang dirasai atas kecurangan Hayati juga terpadam. Kuasa ajaib apakah yang kau ada, Suhana?

“ Saja nak merasai angin pantai. Nyaman,” Azim melemparkan pandangannya ke tengah lautan. Ingin memandang wajah Suhana tapi bimbang jika perbuatannya itu tidak disenangi Suhana.

“Boleh Azim temankan Su jalan-jalan?” Belum sempat dia memberi persetujuan, Suhana telah memandu arah ke gigi pantai. Rambutnya berayun disapa sang bayu. Azim berlari-lari anak cuba menyaingi Suhana tapi belum sempat dia berdiri disebelah gadis itu, Suhana mula berlari-lari meninggalkannya. Tercetus ketawa kecil dari Suhana, mungkin lucu melihat Azim terpinga-pinga.

Azim sekali lagi cuba menyaingi Suhana tetapi gadis itu masih lagi berlari. Sesekali Suhana akan memandang ke belakang cuba melihat kelibat Azim yang masih lagi mengejarnya.

Tiba-tiba langkah Azim terhenti. Satu sudut dihatinya terasa kehilangan gadis itu. Apakah perasaan ini? Dia masih lagi dalam proses mengenali gadis itu tetapi kenapa hatinya terasa sayu melihat gadis itu semakin jauh darinya? Inikah cinta? Inikah sayang? Inikah kasih?

Larian Suhana terhenti pabila melihat Azim tidak lagi mengejarnya. Penatkah anak muda itu? Bisik hati kecilnya. Dia mengatur langkah untuk kembali bersama Azim.

“Kenapa Azim?”

“Tiada apa Su,” Pandangan mereka bersatu. Cahaya yang terpancar dari mata Suhana seolah-olah sedang berbicara dengan hatinya. ‘Tahukah kau Suhana, aku telah tertarik dengan keindahan yang ada pada dirimu? Segala tentang dirimu telah menutup pintu kesepian yang wujud dalam diriku?’

“Azim,” Lembut Suhana menyapa. “ Ada apa-apa yang Azim nak kongsi dengan Su?” ‘Aku ingin kongsi rasa hati ini denganmu Su,’ bisik hati Azim. Tapi mampukah dia meluahkannya kepada Suhana, dengan segala peristiwa yang pernah dilaluinya belum lagi berakhir?

“Tak ada apa Su,” Azim melarikan pandangan matanya ke arah lautan yang terbentang luas. Lalu dia mula berjalan meninggalkan Suhana. Perasaannya berperang antara kemahuan memiliki gadis itu tanpa menyakiti dan risiko kehilangan Suhana jika dia berterus-terang. Suhana mula mengikuti rentak langkah Azim sambil tangannya melakukan gerak tari lembut seperti yang dilakukan di pusat kraf dulu.

“Saya nak Tanya Su sikit boleh?” Azim memulakan bicara. Hari ini dia ingin dapatkan kepastian bagi semua persoalan yang bermain di fikirannya sejak akhir-akhir ini. Suhana hanya mengangguk sambil badannya lemah gemalai menarikan tarian asli.

“Kenapa Su selalu datang ke pantai?” Azim berhati-hati mengeluarkan pertanyaan itu bimbang jika soalannya mengguris hati Suhana. Itu adalah perkara terakhir yang ingin di lakukan terhadap gadis itu.

“Su tunggu Abang Khairul,”

“Siapa Khairul tu?” Tarian Suhana terhenti. Azim jadi serba salah atas keceluparan mulutnya sebentar tadi. Terguriskah hati Suhana pabila kisah cintanya itu disingkap?

“Teman lelaki Su. Dia tinggal kat bandar. Dia janji nak datang jemput Su bila semuanya dah selesai,” Suhana mengukirkan senyuman. Bahagia pabila mengingati janji-janji manis yang ditaburkan oleh lelaki itu.

“Mana Su kenal Khairul?”

“Dia datang bercuti kat chalet hujung sana. Masa tu Su keje kat kilang batik Kampung Kraf. Kami mula-mula jumpa masa dia datang nak belikan songket. Songket tu Su yang pilihkan untuk dia. Dia kata kami punya citarasa yang sama dan sejak hari tu dia selalu datang tengok Su mencanting batik dan menari waktu malam kat pentas Kampung Kraf,” sungguh asyik dia memerhatikan mata Suhana yang memancarkan sinar kasihnya pada lelaki bernama Khairul. Ketika itu tangan itu kembali beraksi. Lembut membelah bayu.


“Bila Khairul nak datang jemput Su?” Azim cuba mencari kepastian. Dia ingin menggunakan setiap detik yang ada bagi menawan hati Suhana. Dia tidak mahu lelaki sebegitu mendapat gadis sebaik Suhana.

“Su pun tak tau. Abang Khairul Cuma kata dia akan datang jemput Su bila kerja dia kat Bandar tu dah siap, “ sedikit rekahan terbit dari ulas bibir Suhana membentuk satu senyuman yang mendamaikan jiwanya. Betapa kekecewaannya tadi terhapus dengan hanya sekuntum senyuman milik Suhana.

Gadis itu meneruskan langkah menghala ke satu batang balak yang hanyut dari laut. Dia menyapu pasir-pasir yang melekat pada batang balak tersebut sebelum menginjakkan badannya sedikit bagi membolehkan dia duduk diatasnya. Lidahnya kelu bagi mencari butir kata yang sesuai bagi menerangkan pada sang dara akan dirinya mungkin telah terpedaya. Kata-kata yang mungkin keluar pasti akan menyakiti hati gadis itu, jadi bagaimana? Haruskah dia berdiam diri bagi menjaga hatinya atau berterus-terang agar Suhana tersedar dari fantasi yang semakin menenggelamkan realiti?

“Hari dah lewat la Azim. Su nak balik dulu la. Esok kita jumpa lagi yer, “ tanpa menunggu persetujuannya, Suhana terus berlalu menghilang disebalik rimbunan pokok-pokok rhu yang bersilih ganti dengan pokok kelapa. Hilang sahaja bayangan Suhana, dia menyusun kembali langkahnya menghala ke villa.

No comments:

Post a Comment