Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep Akhir

Azim memandang jauh ke tengah lautan, cuba mencari kekuatan untuk berdiri dan kembali melangkah. Disini dia dan Suhana meluangkan masa hampir dua jam setiap hari. Bercerita, bergelak tawa malah berkongsi rasa. Tiga minggu yang penuh dengan kenangan manis. Walaupun seketika tetapi manisnya tetap terasa.

Siapa tahu, malam sebelumnya dia merancang untuk melamar Suhana dan malam itu juga dia kehilangannya. Azim cuba mengutip kembali kenangan yang terukir di pantai ini untuk di simpan kemas didalam lipatan sejarah hidupnya.

“Sejak tujuh bulan lepas, dia jadi seorang yang pendiam, tak banyak bercakap. Kalau ada orang Tanya sepuluh patah, sepatah je yang dia jawab. Kalau tak, diam sahaja dia kat rumah ni. Dia satu-satunya anak perempuan kami. Bila keadaan dia jadi macam tu, hilang seri rumah kami,” Pak Rahmat menghulurkan sapu tangannya kepada Pak Uda Jamil. Seketika orang tua itu menarik nafas sebelum menyambung kata-katanya.

“Makan minum tak terurus, selalu termenung. Orang kampung banyak yang pandang serong pada Su, cakap yang bukan-bukan tapi kami sabar,” Pak Uda Jamil mengeluh.

“Tapi sejak tiga minggu lepas, Su dah mula berubah, selalu senyum dan mula bercakap dengan ibunya. Dia dah kembali seperti Suhana yang sebelum ini. Dia banyak bercerita pasal Azim. Setiap kali balik ada sahaja cerita yang dia kongsikan. cerita mengenai Khairul dah tenggelam. Masa tu kami syukur sangat sebab doa kami dah dimakbulkan oleh Allah. Dia dah hantar Azim untuk selamatkan Suhana,” walaupun perlahan, masih kedengaran esakan kecil Pak Uda Jamil.

“Pak, saya tahu saya belum kenal Suhana. Tapi pak, saya nak mintak izin dengan bapak. Izinkan saya berkawan dengan Suhana dan saya janji akan menjaga dia lebih dari saya menjaga diri sendiri,” seikhlas hatinya dia ingin bapa Suhana tahu dia sememangnya ikhlas terhadap Suhana.

“Baik sungguh niat anak,” terdengar suara wanita mencelah dengan getaran suara yang sungguh sayu. Dia melihat seorang wanita tua menghampiri mereka lalu melabuhkan punggung di antara dia dan Pak Uda Jamil.

“Kalaulah Su dapat dengar apa yang anak cakapkan, tentu dia gembira,” makin laju air mata yang mengalir menuruni pipi wanita tua itu. Tapi apa yang dimaksudkan olehnya?’ Kalaulah Su dapat dengar?’ Kemana Suhana?

“Saya ikhlas makcik. Jika makcik izinkan, saya ingin melamar Suhana menjadi isteri saya. Saya akan maklumkan kepada keluarga saya untuk bawa rombongan meminang dalam masa yang terdekat,” kata-katanya sedikit pun tidak meredakan tangisan wanita tua itu malah menambahkan lagi sebak yang sedia ada. Kini wanita itu tenggelam didalam pelukan Pak Uda Jamil.

“Maafkan kami nak. Semuanya sudah terlambat. Suhana telah meninggalkan kita semalam,” kini segala persoalan yang bermain di fikirannya telah terjawab. Sekelip mata otot-ototnya gagal berfungsi untuk menstabilkan badannya. Dia jatuh ke tanah mendengar perkhabaran dari mulut bapa Suhana.

Jadi benarlah susuk tubuh yang dilihatnya semalam itu adalah Suhana? Kenapa dia tidak dapat membezakan realiti dan fantasi? Jika dia tidak berangan-angan malam itu tentu dia dapat menyelamatkan Suhana dari lemas.

‘Su, kenapa cepat sungguh Su pergi? Belum sempat saya meluahkan rasa hati, Su telah pun pergi. Hati saya kini kembali sunyi Su. Sesunyi pantai ini, tiada lagi yang sudi menanti, tiada lagi yang akan berlari.’

‘Su, terima kasih kerana sudi mengisi mengubat kekecewaan saya sebelum ini. Walaupun sekejap, luka yang dalam telah sembuh kembali. Saya ucapkan terima kasih kepada Su kerana menunjukkan saya cara untuk bercinta semula.’


“SUHANA, SAYA SAYANGKAN AWAK!”


Suhana yang tertewas dengan godaan cinta dan Azim yang kecewa dengan permainan perasaan bertemu tanpa diduga. Perasaan kasihan bertukar menjadi sayang, luka yang dalam sembuh sekelip mata. Tanpa di minta kasih di antara kedua-duanya bertaut namun hanya sebentar cuma. Kesunyian yang dialami oleh mereka telah dibersihkan oleh angin yang berlalu. Pantai inilah yang mengajar mereka cara untuk bercinta semula. Kini pantai ini kembali sunyi. Yang tinggal hanyalah memori. Kehilangan adalah suatu kerinduan.


Selamat Tinggal Cinta,

Emmy Ab Manaf

31 August 2009, 1.29am


"We're born alone, we live alone, we die alone. Only through our love and friendship can we create the illusion for the moment that we're not alone"

No comments:

Post a Comment