Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 11

Kereta Kancil merah yang di pandu Pak Rahmat berhenti di hadapan rumah papan berwarna kuning langsat bertangga simen berwarna koko. Terdapat beberapa batang pokok kelapa di sekeliling rumah itu. Di tepi tangga pula terdapat pasu-pasu bunga kertas dan ros. Satu pokok ketapang tumbuh merimbun meneduhi laman rumah tersebut.

Kelihatan ramai orang kampung yang sedang berdiri di perkarangan rumah itu. Lelaki, perempuan, tua, muda. Malah ada yang memakai ketayap dan berkopiah. Semuanya berwajah sugul malah ada yang mengelap air mata yang mengalir. Pertanyaan yang timbul dari benaknya tidak mendapat sebarang jawapan dari Pak Rahmat. Mungkin disinilah dia akan menemui semua jawapan yang di carinya sejak dari tadi.

Azim mengekori Pak Rahmat yang menuju ke arah seorang lelaki tua berkopiah lalu menyalaminya. ‘Tadi kata nak ke rumah Suhana, tapi ke sini pulak dia melencong. Kalau ya pun ada kematian, cakap je la. Bukannya aku tak nak ikut,’ omel Azim di dalam hati. Muka lelaki tua separuh abad itu kelihatan serius ketika berbual dengan lelaki disebelahnya. Tangannya menepuk bahu lelaki yang hampir sebaya dengannya mungkin sebagai tanda sokongan moral.

“Encik Azim, mari bapak kenalkan. Ini Pak Uda Jamil, ayah Suhana,” perlahan sahaja suara Pak Rahmat ketika memperkenalkan dirinya. Azim menghulurkan tangan untuk menyalami bakal mertuanya. ‘First impression itu penting’ jadi dia harus menunjukan prestasi yang terbaik.

“Abang Jamil, ni Encik Azim. Anak Dato Zainal, tuan punya villa tu,” aduh. Kenapa la Pak Rahmat perkenalkan dia macam tu. Nanti Nampak macam berbeza pula darjat.

“Apa khabar Encik Azim?” Sapa lembut Pak Uda Jamil.

“Baik Pak. Jangan berencik dengan saya. Panggil je saya Azim,” dia mengukirkan senyuman. Mungkin cuba menambat hati bakal mertua.

“Bapak nak ucapkan terima kasih sebab Azim sudi temankan Su beberapa minggu ni tanpa pandang serong pada dia,” walaupun timbul pertanyaan bagaimana bapa Suhana mengetahuinya namun dia bersyukur kerana lelaki tua itu tidak bersangka buruk dengan niatnya.

“Tak perlu ucap terima kasih pak, saya ikhlas berkawan dengan Su,” walaupun niatnya ikhlas tetapi tidak timbul kegembiraan di wajah Pak Uda Jamil. Adakah dia tersilap menuturkan ayat? Atau sememangnya Pak Uda Jamil tidak suka akan dirinya gara-gara pernah ada sejarah hitam dengan ‘lelaki bandar’?

“Mari nak, kita duduk dulu. Banyak perkara yang bapak nak biacarakan dengan Azim ni,” lelaki tua itu mengatur langkah mengetuai Pak Rahmat dan Azim menuju ke arah sebuah para di bawah pohon beringin.

“Azim tahu kan sejarah hidup dia?” Pandangan Pak Uda Jamil terlontar jauh keluar dari perkarangan rumahnya. Ada sesuatu yang serius yang ingin diucapkan oleh lelaki tua itu. Yang pasti, dia harus bijak menuturkan ayat agar tidak di salah sangka oleh Pak Uda Jamil.

“Ya, saya tahu,” dia memandang Pak Rahmat yang berada di hadapannya. Pandangan Pak Uda Jamil masih lagi kepada jalan raya di hadapan rumahnya.

“Azim tak kisah?” Nada Pak Uda Jamil masih lagi mendatar. Seolah-olah kehilangan emosi.

“Saya ikhlas pak. Bagi saya apa yang telah berlaku itu mungkin kesilapan yang mendewasakan Suhana,” terdengar esakan kecil Pak Uda Jamil. Ini menimbulkan pertanyaan lagi didalam kepala Azim. Terharukah orang tua ini atau?

No comments:

Post a Comment