Bisikan Cintamu Di Angin Lalu - Ep 9


Cahaya bulan sangat terang malam itu sehinggakan laut yang terbentang luas di hadapannya umpama sebuah kanvas digital yang beralun manja disapa angin. Begitu mendamaikan jiwa. Matanya menatap selendang putih yang dibeli di pekan tadi. Hatinya tertanya adakah Suhana akan menyukai pemberiannya ini?

Azim membiarkan badannya menghempap tilam empuk di menara. Dia memandang siling diatasnya. Segala kenangannya bersama dengan Suhana selama beberapa minggu ini berputar dilayar siling. Alunan piano dari i-Pod nya memberi sedikit kesan audio terhadap khayalannya sebentar tadi.

Ah! Khayalan. Dia tidak mampu lagi membiarkan rahsia hatinya. Esok dia akan berterus terang dengan Suhana. Biar si dara mengetahui akan debaran yang dirasai, rindu yang ditanggungnya setiap hari malah mimpi yang menjengah dimalam sunyi.

Dia bangkit tatkala irama Unchained Melody menangkap saluran pendengarannya. Teringat akan perkahwinan Siti Nurhaliza yang dihadirinya beberapa tahun lalu. Penuh kemanisan dan kenangan. Suhana juga berhak untuk memiliki sebuah perkahwinan seperti itu setelah lama menderita.

Timbul impian untuk menyunting Suhana menjadi permaisurinya menggantikan Nori. Nori! Sudah lama dia tidak mendengar khabar dari perempuan itu. Dia mengeluh. Sakit hatinya setiap kali teringat akan pengkhianatan Nori terhadapnya. Masih lagi Azim ingat akan kata-kata Zul mengenai Nori yang curang di belakangnya.

Pada mulanya dia hanya fikir Zul cuba untuk memusnahkan kebahagiaannya bersama Nori kerana Nori pernah menolak cinta Zul dan memilih dirinya sebagai kekasih. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya onar Nori terbongkar jua. Dia sendiri yang melihat Nori berpelukan manja dengan Johan didalam lif semasa dia ke Hotel Concorde untuk bertemu dengan Ricky.

Ah! Itu cerita lama. Kini tempat Nori telah di isi oleh Suhana. Pedih hatinya selama ini telah sembuh dirawat oleh kelembutan gadis itu. Racun yang mematikan senyumannya kini juga telah disuburi oleh cinta Suhana.

Azim berjalan menuju kearah dinding kaca di menara. Dia menghantar jauh pandangan matanya mencari sedikit kekuatan agar dia mampu mengharungi satu lagi malam tanpa kehadiran Suhana.

Puas memandang jauh ke tengah lautan, kini pandangan matanya beralih ke arah kuala tempat dia ‘bertemu janji’ dengan Suhana. Dengan berbekalkan cahaya bulan mengambang, matanya dapat menangkap susuk tubuh seorang perempuan sedang duduk di atas pasir.

Berkata hatinya kepada diri sendiri, ‘Suhanakah itu?’ Ah! Tak mungkin Suhana datang lewat malam begini. Dia memerhati lagi. Kini susuk tubuh itu berjalan ke arah gigi air dan terus menyusun langkah ke dalam lautan. Semakin lama, semakin tenggelam susuk tubuh itu sehingga hilang dari pandangan mata.

Sah! Kini hanya bayangan Suhana yang bermain di matanya. Denyutan jantungnya semakin kuat. Malam, cepatlah berlalu. Siang, segera la kau datang.

Tak sanggup lagi dia menahan rahsia hatinya terhadap Suhana.




No comments:

Post a Comment